Rayu Razali Umar pulang


Rayu Razali Umar pulang

2hb. Februari 2011
IPOH –Pihak pengurusan Perak, menyeru penyerang Razali Umar Kandasamy segera kembali ke pangkuan pasukan setelah didakwa menghilangkan diri sejak sebulan lalu.

Pengurus skuad Liga Super Perak 2011, Khairul Azwan Harun berkata, kehilangan Razali agak membimbangkan kerana sehingga ke hari ini tiada siapa yang tahu di mana dia berada termasuk keluarganya.

Menurutnya, kehilangan Razali juga menyulitkan persediaan pasukan termasuk perencanaan strategi yang disusun oleh jurulatih.

“Telah sebulan, dia (Razali), menghilangkan diri dan tak hadir latihan.

“Kita pun sedang berusaha mengesan beliau dan merayu agar dia datang menemui kami di pihak pengurusan bagi menyelesaikan segala permasalahan.

“Jika tidak mahu berjumpa kami, dia juga boleh menghubungi rakan-rakan sepasukan yang lain dan seterusnya kita akan cuba membantu untuk menyelesaikan masalah yang mungkin dihadapi oleh beliau,” katanya kepada Sinar Harian.

Khairul Azwan berkata demikian ketika ditanya berhubung masalah kehilangan penyerang berbakat skuad Kejor Yob Kejor itu, Razali Umar Kandasamy yang didakwa menghilangkan diri sejak sebulan lalu.

Sementara itu, Azwan berkata, pihak pengurusan turut gagal menghubungi pemain berkenaan dan terus melaksanakan usaha bagi mengesannya sehingga berjaya.

“Dia seorang pemain yang baik dan sehingga ke hari ini, dia masih dalam skuad, kita tak singkir dia.

“Mungkin dia ada masalah, dia boleh datang berjumpa saya agar kita sama-sama dapat mencari penyelesaiannya,” katanya

2 comments: